Sumber air mentah yang terancam Sungai_Langat

Sungai Langat merupakan sumber air mentah utama kepada 7 buah loji rawatan air di Selangor iaitu Loji Air Sg Langat, Loji Air Bukit Tampoi, Loji Air Cheras Batu 11, Loji Air Salak Tinggi, Loji Air Sg Pangsoon, Loji Air Sg Serai dan Loji Air Sg Lolo.

Proses modernisasi dan pembangunan yang pesat terutamanya di Selangor, Sungai Langat diancam pencemaran air yang begitu teruk yang menyumbang kepada krisis air. Mengikut laporan Malaysia Environmental Quality Report 2006 [1] yang diterbitkan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia , sesetengah sungai yang mengalir daripada Sungai Langat sudah tercemar dengan Indeks Kualiti Air sungai-sungai tersebut berada pada tahap III. Sungai-sungai ini adalah seperti Sungai Balak, Sungai Batang Benar, Sungai Batang Nilai, Sungai Lui dan Sungai Pajam.

Pada 11 Oktober 2012, Ketua Unit Permodelan Alam Sekitar, Pusat Penyelidikan Forensik Alam Sekitar (Enforce) Universiti Putra Malaysia, Dr Hafizan Juahir menyatakan bahawa hanya 49.3km dari 149.3 km Sungai Langat yang masih bersih. 100 km lagi sudah tercemar dan tidak sesuai untuk air minuman. 100km Sungai Langat ini sudah masuk dalam kelas 3, 4. Sekiranya kualiti air sungai lebih teruk daripada ini, ia sudah dikira sungai mati. Faktor utama pencemar sungai ini ialah air cucian, sisa-sisa domestik dan sampah yang masuk dalam sungai.[2]

Pada Januari 2014, dilaporkan beberapa kes pencemaran sisa amonia[3] di Sungai Langat yang menyebabkan penutupan dua loji rawatan air (LRA) iaitu LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi. Penutupan dua loji ini telah menyebabkan gangguan bekalan air[4] di beberapa kawasan sekitar wilayah Hulu Langat dan Kuala Langat yang menerima air daripada kedua-dua buah loji tersebut. [5]